ISTANBUL: Iran melantik Mohammad Bagher Zolghadr sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, menggantikan Ali Larijani yang terbunuh dalam serangan Israel-Amerika Syarikat, menurut pejabat presiden hari ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) itu sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha Majlis Penentuan Kepentingan Negara Iran.
Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan lain termasuk timbalan menteri dalam negeri serta pembantu kepada ketua badan kehakiman bagi hal ehwal strategik.
Zolghadr menggantikan Larijani yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat-Israel di Tehran pada 17 Mac lalu.
Amerika Syarikat dan Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, mengorbankan lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat. Serangan balas itu mengakibatkan korban jiwa, kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan penerbangan. – BERNAMA-ANADOLU
