KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara sehingga kini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bekalan semasa bukan sahaja mencukupi malah situasi di negara ini lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk negara serantau.
Beliau sebaliknya berkata, perkara yang timbul dan diuar-uarkan berhubung kekurangan bahan api adalah isu terpencil berpunca aspek logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.
“Perkara ini sudah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan semasa adalah terjamin,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Armizan menyatakan perkara demikian ketika melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu.
Ketika pertemuan itu, Armizan berkata, beliau juga menjelaskan berhubung beberapa khabar angin berkaitan dakwaan berlakunya ketidakcukupan bekalan bahan api di beberapa stesen minyak di Sabah baru-baru ini yang dikaitkan dengan senario berlaku di negara jiran.
“Saya juga memberikan taklimat hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang diaktifkan sebagai langkah memperkukuh agenda penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api khususnya di kawasan sempadan termasuk di negeri Sabah.
“Ini kerana risiko ketirisan semakin meningkat berikutan konflik Asia Barat dan jurang harga yang tinggi antara harga bahan api bersubsidi di dalam negara dengan harga pasaran dan harga runcit di negara-negara jiran,” katanya.
Beliau turut mengingatkan sebarang penjualan dan pengisian bahan api selain daripada tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan mengingatkan Akta Kawalan Bekalan 1961 khususnya peruntukan-peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Katanya, KPDN tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada platform aduan KPDN sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.
“Pengusaha stesen minyak diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa,” katanya.
Krisis di Asia Barat dilaporkan menyebabkan negara anggota ASEAN iaitu Filipina, Vietnam dan Malaysia menjadi tiga negara utama perkumpulan itu yang paling terdedah terhadap risiko bekalan berikutan realiti rantau ini yang amat bergantung kepada sumber minyak mentah dari Teluk Parsi.
Sebahagian besar penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) yang melalui Selat Hormuz yang kini terus terjejas akibat konflik yang berlarutan itu, adalah bagi destinasi ke Asia dengan China dan India menjadi penerima terbesar daripada aliran berkenaan.-BH Online
