Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Cabaran ekonomi semasa dan konflik di Asia Barat tidak menjejaskan persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.

Walaupun mengamalkan langkah berjimat cermat susulan situasi tersebut, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata standard serta kualiti penganjuran tetap terjamin bagi memastikan prestij temasya sukan dwitahunan itu terus terpelihara.

Beliau berkata langkah penjimatan itu termasuk memanfaatkan fasiliti sedia ada di empat kluster utama Sukan SEA 2027 melibatkan Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

“Kita tidak akan membelanjakan jumlah yang besar untuk pembinaan fasiliti baharu. Hampir kesemua tempat penganjuran sudah pun ada fasiliti yang lengkap dan bersedia untuk penganjuran Sukan SEA 2027.

“Jadi apa yang paling penting sekarang adalah penambahbaikan ataupun menaik taraf fasiliti sedia ada daripada kita menyediakan fasiliti atau infrastruktur baharu yang menelan kos lebih,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat menteri baru-baru ini.

Sarawak akan menjadi kluster utama dan lokasi upacara pembukaan Sukan SEA 2027, dengan 17 sukan dipertandingkan iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, Muay Thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wusyu.

Kluster Pulau Pinang pula melibatkan enam sukan iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball manakala kluster Johor hanya melibatkan satu acara iaitu bola sepak.

Kluster Kuala Lumpur akan menjadi lokasi upacara penutup dengan 14 sukan dipertandingkan iaitu badminton, berbasikal (Velodrom Nasional, Nilai), bola tampar, bola jaring, ekuestrian, hoki, karate, lawan pedang, luncur ais, olahraga, pencak silat, pelayaran (Langkawi), ragbi dan ski air.

Menyedari penganjuran Sukan SEA 2027 di empat kluster mengundang cabaran dari aspek logistik, Mohammed Taufiq optimis Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 (MASOC) mampu memastikan acara tersebut berlangsung dengan lancar.

“Saya yakin jawatankuasa ini sedang bekerja dengan rapi, baik dan teratur untuk memastikan penganjuran Sukan SEA ini menjadi lancar dan antara yang terbaik berbanding sebelum ini,” katanya.

Sukan SEA 2027 bakal berlangsung dari 18 hingga 29 September.-BH Online