PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) terus komited memastikan negara sentiasa dalam keadaan bersiaga dengan memperkukuh keupayaan pemantauan serta ramalan cuaca yang lebih jitu bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya ke dalam Sistem Amaran Awal Multi-Bahaya (MHEWS) sejajar cabaran iklim pada tahun ini.
“Inisiatif ini membolehkan penyampaian maklumat amaran awal seperti banjir kilat, ribut tropika dan fenomena cuaca ekstrem dilakukan lebih pantas kepada agensi pengurusan bencana serta masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Meteorologi Sedunia 2026.
Arthur berkata, pemerkasaan Pusat Kecemerlangan Iklim Negara turut dijadikan teras kepada penyelidikan berkaitan impak perubahan iklim bagi menyokong penggubalan dasar adaptasi nasional yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Beliau berkata, NRES juga memberikan penekanan serius terhadap aspek literasi cuaca pada peringkat akar umbi melalui program Meteorologi Untuk Rakyat.
“Usaha ini bertujuan membudayakan sikap kesiapsiagaan dalam kalangan komuniti supaya setiap amaran dikeluarkan dapat diterjemahkan kepada tindakan pencegahan yang efektif,” katanya.
Arthur berkata, pemerkasaan aset teknikal dan pembangunan kepakaran modal insan dalam bidang meteorologi adalah pelaburan keselamatan jangka panjang yang penting bagi menjamin kelangsungan sosioekonomi negara.
Beliau berkata, pada peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) khususnya dalam menyokong inisiatif ‘Early Warnings for All’ bagi memastikan semua lapisan masyarakat menerima maklumat amaran awal yang tepat dan tepat pada masanya.
Katanya, Malaysia kini menyertai komuniti global bagi menyambut Hari Meteorologi Sedunia 2026 yang mengangkat tema Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok.
“Sambutan tahun ini satu peringatan penting mengenai peranan strategik sains meteorologi dalam melindungi nyawa dan harta benda rakyat daripada ancaman cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim global.
“Perubahan iklim adalah cabaran yang menuntut tindakan kolektif dan berterusan daripada semua pihak.
“Data meteorologi yang kita hasilkan bukan sekadar angka, tetapi jadi panduan keselamatan yang menentukan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Arthur turut menggesa rakyat Malaysia bersama-sama memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam dan sentiasa peka terhadap maklumat cuaca rasmi. – BERNAMA
