Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diarah memulakan konsultasi segera dengan Kementerian Kewangan bagi merangka langkah bersasar menangani kesan kenaikan harga diesel terhadap sektor pengangkutan pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata ia susulan maklum balas persatuan serta pemain industri yang terkesan akibat peningkatan kos operasi.

“Perbincangan ini akan memberi tumpuan kepada situasi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah bersasar.

“Ia termasuk sokongan bersifat sementara bagi membantu mengurangkan tekanan jangka pendek yang timbul, di mana sebahagiannya dipengaruhi perkembangan di Asia Barat,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pihak kementerian sedang memantau rapat kesan kenaikan harga diesel yang boleh memberi tekanan kepada sektor pengangkutan pelancongan.

“Jika tidak ditangani dengan baik, keadaan ini boleh memberi kesan berantai kepada pelancongan masuk, perniagaan serta kestabilan keseluruhan ekosistem pelancongan,” katanya.

King Sing menjelaskan, sektor pengangkutan pelancongan adalah tonggak penting dalam industri pelancongan negara.

Katanya, ia perlu diperkukuhkan dari segi piawaian keselamatan, prestasi kenderaan serta mutu perkhidmatan kepada pelawat.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan ‘menstabilkan dan menaik taraf’ sektor itu bagi membantu pengusaha menghadapi cabaran semasa.

Selain itu, katanya, menggalakkan penambahbaikan secara berperingkat, termasuk pembaharuan kenderaan, sokongan kewangan yang bersesuaian, serta penambahbaikan rangka kerja pengawalseliaan.

King Sing berkata, sebarang bentuk sokongan diperkenalkan kelak akan dirangka dengan mengambil kira pembangunan jangka panjang industri, dan bukan sekadar penyelesaian sementara.

“Objektif kerajaan bukan sekadar untuk meredakan kesan langsung yang dihadapi, tetapi juga membina sistem pengangkutan pelancongan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa pemain industri supaya terus berhubung rapat dengan kerajaan serta terbabit dalam dialog secara rasional bagi memastikan kestabilan sektor itu, selain menyokong kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

King Sing sekali gus berharap semua pihak kekal tenang dan bertindak secara berhemah, sambil menegaskan kerajaan akan berusaha menyeimbangkan pelbagai kepentingan terbabit dalam usaha mencari penyelesaian munasabah serta pelaksanaan yang sesuai.-BH Online