KUALA LUMPUR, 20 Mac – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$128.1 bilion setakat 13 Mac 2026.
BNM dalam kenyataan hari ini memaklumkan paras itu mencukupi untuk membiayai 4.7 bulan import barangan dan perkhidmatan serta bersamaan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Menurut BNM, komponen utama rizab antarabangsa kasar merangkumi rizab mata wang asing sebanyak US$112.4 bilion, diikuti kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) US$1.3 bilion, hak pengeluaran khas (SDR) US$6.0 bilion, emas US$6.1 bilion dan aset rizab lain US$2.3 bilion.
Sementara itu, jumlah aset BNM direkodkan sebanyak RM616.69 bilion, yang sebahagian besarnya terdiri daripada emas, aset kewangan asing dan rizab lain termasuk SDR berjumlah RM519.59 bilion.
Aset lain termasuk kertas Kerajaan Malaysia (RM13.41 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM28.75 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.4 bilion), harta tanah dan peralatan (RM4.56 bilion) serta aset lain (RM48.98 bilion).
Dari segi liabiliti pula, mata wang dalam edaran berjumlah RM187.43 bilion, diikuti deposit oleh institusi kewangan (RM115.49 bilion), Kerajaan Persekutuan (RM9.97 bilion) dan lain-lain (RM69.50 bilion).
Modal BNM berjumlah RM100 juta dengan rizab sebanyak RM196.26 bilion, selain kertas Bank Negara (RM7.97 bilion), peruntukan SDR (RM26.83 bilion) dan liabiliti lain (RM3.13 bilion).-Berita RTN
