Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEMAKAN semula Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi memperhalusi beberapa peruntukan membabitkan etnik berkenaan sedang dilakukan kerajaan.

Perkara itu diberitahu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, sebagai permulaan, Kajian Pembangunan Kerangka Perundangan serta Mekanisme bagi Pentadbiran Perkahwinan dan Perceraian Adat Orang Asli di Semenanjung sudah mula dilaksanakan, Jumaat lalu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan, isu tanah Orang Asli turut menjadi perhatian kerajaan berikutan terdapat perbezaan dan pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

“Strategi bagi memajukan masyarakat Orang Asli sudah digariskan dalam Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang memberi fokus kepada pembangunan sosioekonomi golongan berkenaan.

“Ia dirangka dalam usaha meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan infrastruktur lengkap di seluruh perkampungan Orang Asli,” katanya menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pertambahan pegawai teknikal di JAKOA menjadi antara hala tuju perjawatan jabatan berkenaan, selain perkara itu sudah dibincangkan pada peringkat kementerian.

“Justeru, pihak JAKOA sudah melakukan perancangan bagi pelantikan pegawai teknikal secara perkhidmatan kontrak’ (COS) dan sudah memohon peruntukan bagi tujuan berkenaan pada 2024.

“Selain itu, JAKOA ketika ini, turut melantik Personel MySTEP dalam bidang kejuruteraan sebagai inisiatif jangka pendek bagi mengatasi kekangan kekurangan tenaga kerja teknikal di jabatan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 153 inisiatif yang relevan dan praktikal untuk dilaksanakan sudah digariskan bagi membendung, selain muncul sebagai langkah pencegahan salah guna kuasa, isu integriti, governance dan rasuah di RISDA.

Selain itu, katanya, indikator terhadap keberkesanannya dapat dilihat melalui keputusan Auditan Pengurusan Amalan Nilai di jabatan dan agensi kerajaan dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara dwitahunan.

“Antara perkara diambil kira dalam audit ini adalah kajian kepuasan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan disampaikan, termasuk elemen ketelusan dan integriti dalam urusan.

“Nilai diterima RISDA mencatatkan peningkatan kepada 89.91 peratus pada 2021, berbanding 82.65 peratus pada 2018,” katanya. -Media Perpaduan