Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KRISIS bekalan beras yang melanda negara ketika ini akan dapat diatasi tidak lama lagi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, krisis itu akan dapat diatasi kerana ianya berpunca akibat pembelian panik di kalangan rakyat.

Jelasnya, pembelian panik berlaku berikutan kenaikan harga beras import di pasaran.

“Isu beras ini ia berlaku paling hebat pada 2008 dan 2014, kedua-dua masa itu dapat diatasi dengan baik. Kali ini saya yakin dapat diatasi dengan baik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu menjelaskan, Malaysia mempunyai stok bekalan beras sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok penimbal dan 650,000 tan bagi stok dagangan yang mencukupi bagi menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berpandangan masih belum ada keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stok penimbal beras kerana stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan itu masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

Jelasnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga kini giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara supaya mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras iaitu sebanyak 80 peratus menjelang 2030.

Tambahnya, antara inisiatif dilakukan adalah pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperluaskan dengan menyasarkan pelaksanaan program di kawasan seluas 150,000 hektar sawah padi dengan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan bagi setiap hektar.

“Program ini dilaksanakan berdasarkan kepada empat model iaitu model SMART SBB Padi Putih, SMART SBB Padi Wangi, SMART SBB Asnaf dan SMART SBB Mini Sekinchan.

“Program tidak menggunakan sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan, malahan syarikat peneraju yang terbabit akan menanggung kos pelaksanaan operasi sehingga RM3,200 perhektar,” katanya. -Media Perpaduan