Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan sebarang isu berkaitan dengan komisen dan kadar tambang oleh perkhidmatan e-hailing akan dibincangkan di peringkat Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dasar yang ada sudah tersedia dan setiap pindaan atau penambahbaikan dasar pasti akan memberi kesan langsung kepada ekosistem industri itu.

“Kerajaan sudah lama nyatakan sebarang perubahan dasar ada implikasinya.

“Bagaimanapun SEGiM sudah ditubuhkan, jadi sebarang isu berkaitan komisen kadar tambang dan sebagainya akan dibincangkan di peringkat itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Edaran Pek Hari Raya Aidilfitri 2026 kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, hampir 500 pek Hari Raya Aidilfitri diedarkan kepada mereka yang membuat perjalanan ke Padang Besar dan JB Sentral.

Turut hadir Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof.

Sebelum ini media melaporkan, keengganan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memperkenalkan dasar harga lantai bagi perkhidmatan e-hailing membuka ruang eksploitasi ke atas pemandu.

Sahabat E-hailing Malaysia (SEM) berkata, keengganan pihak berkuasa terbabit menimbulkan kegusaran serius ke atas nasib pemandu yang terus tertekan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, KTMB terus mengambil langkah proaktif dengan menambah 228 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac bagi

memenuhi permintaan tinggi orang ramai yang ingin pulang ke

kampung halaman sempena Aidilfitri. 

Loke berkata, daripada jumlah itu, 196 perjalanan membabitkan

perkhidmatan tren elektrik (ETS) manakala 32 lagi EMUPlus. 

“Dalam tempoh ini, perkhidmatan ETS dan EMUPlus akan beroperasi dengan 64 perjalanan sehari dan

pengoperasian tren hampir mencapai tempoh 24 jam.

“Selain itu, KTMB juga berkeupayaan menambah perjalanan tren ETS sehingga maksimum 70 perjalanan sehari, tertakluk kepada permintaan penumpang. 

“Inisiatif ini adalah penambahan perkhidmatan tren terbesar pernah dilaksanakan dalam pengoperasian KTMB setakat ini, sebagai komitmen berterusan kerajaan dan KTMB untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan selesa dan selamat,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan tempat duduk yang ditawarkan pada masa ini untuk perkhidmatan ETS dan EMUPlus sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri meningkat kepada 251,752 tempat duduk berbanding hanya 118,440 tempat duduk pada tahun 2025. 

“Justeru, pada tahun ini jumlah tempat duduk yang disediakan bagi perayaan Aidilfitri pada tahun ini meningkat sebanyak 113 peratus.

“Dengan keupayaan mengendalikan sehingga maksimum 70 perjalanan tren ETS sehari, KTMB boleh menawarkan sebanyak 285,714 tiket kepada penumpang sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“KTMB juga menempatkan seramai 310 anggota Polis Bantuan di semua stesen utama dan penumpang diingatkan supaya menjaga barangan peribadi dengan baik dan berada di stesen 30 minit lebih awal sebelum waktu pelepasan tren,” katanya.-BH Online