KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyampaikan sumbangan RM36,000 melalui pelaksanaan Bantuan Lestari Siswa MADANI yang memanfaatkan seramai 72 pelajar asnaf dari Politeknik Nilai dan Port Dickson.
Inisiatif itu bertujuan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar kurang berkemampuan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan pelajar di institut pendidikan tinggi (IPT).
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata sebagai sebuah agensi yang prihatin, pihaknya komited untuk terus memperluas pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terutama dalam aspek pendidikan.
“Sepanjang Ramadan yang mulia ini, PTPTN banyak menganjurkan pelbagai program CSR bagi menyantuni masyarakat serta pelajar di IPT.
“Antaranya Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di IPT, Program Jom Kejut Sahur, Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf serta Bantuan Lestari Siswa MADANI,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Melalui bantuan itu, beliau berkata, setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara ‘one-off’ yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing
“PTPTN sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi menjaga kebajikan pelajar, khususnya peminjam,” katanya.
Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI disempurnakan Norliza pada Majlis Iftar PTPTN Bersama Media semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PTPTN dan Pengurusan PTPTN, Mastura Khalid.
Pada majlis sama, agensi itu turut meraikan pengamal media sebagai tanda penghargaan dan penghormatan atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.-BH Online
