Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SAMARAHAN: Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama agensinya, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkenalkan kadar baharu Bantuan Program Tanam Semula Getah di Sarawak mulai tahun ini.

Menerusi inisiatif itu yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kampung Niup, Samarahan, peningkatan sebanyak RM8,195 sehektar atau sekitar 55 peratus dilihat berpotensi meningkatkan aktiviti penanaman komoditi utama negara.

Ahmad Zahid berkata, kadar baharu bantuan bagi Semenanjung dan Sabah pula akan turut diumumkan dalam masa terdekat.null

Inisiatif itu bakal memperkasa kemakmuran lebih 508,000 pekebun kecil getah seluruh negara, menerusi pendekatan pembangunan yang lebih progresif dan responsif terhadap keperluan semasa.

Pengumuman kenaikan itu turut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sebenar pembangunan kebun getah yang semakin mencabar, khususnya dari segi kos input pertanian, buruh, logistik dan kerja lapangan.

Program Tanam Semula Getah adalah inisiatif utama RISDA untuk menggandakan penghasilan komoditi utama negara, dalam pada masa sama 

memanfaatkan komuniti pekebun kecil dalam jangka panjang daripada program ini. 

Ia meliputi pembangunan kebun, penanaman semula, penyelenggaraan dan pembekalan input pertanian.

Cadangan kenaikan mengambil kira peningkatan semasa kos pembangunan kebun, khususnya di Sarawak dan Sabah, merangkumi kos input, buruh, diesel bersubsidi serta faktor pengurusan kebun.

Langkah ini memastikan saluran bantuan disalurkan sehingga ke peringkat pengeluaran hasil.

Bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pelaksanaan kadar baharu ini dijangka memperkukuh keberkesanan program tanam semula getah, seterusnya menjamin kelangsungan sektor komoditi getah negara serta membantu pekebun kecil mengekalkan daya tahan ekonomi dalam keadaan semasa yang semakin mencabar.

Dalam konteks pelaksanaan agenda kemakmuran pekebun kecil Sarawak, RISDA Negeri Sarawak terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi masyarakat desa. 

Bagi tahun 2026, sejumlah RM29.25 juta diperuntukkan oleh KKDW kepada RISDA Sarawak untuk melaksanakan program pembangunan strategik kepada warga pekebun kecil di negeri ini.

Pada masa ini, Sarawak menjadi penyumbang terbesar dalam Program Tanam Semula RISDA dengan keluasan keseluruhan 161,521 hektar.

Bagi mendekati dan mengeratkan lagi hubungan dengan pekebun kecil, RISDA telah menganjurkan Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil RISDA Negeri Sarawak 2026 di Masjid Darul Istiqamah, Kampung Niup, Kota Samarahan. 

Majlis yang dihadiri Ahmad Zahid serta Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli itu menjadi platform menghimpunkan kepimpinan kerajaan dan masyarakat desa, di samping menyampaikan inisiatif serta bantuan kepada komuniti desa.

Ia memperlihatkan pendekatan memperkasa desa yang seimbang antara aspek ekonomi, kebajikan dan kemanusiaan, selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan keinsafan, kebersamaan dan kesejahteraan rakyat.

RISDA turut menyampaikan 120 bakul makanan kepada penduduk Kampung Niup sebagai tanda keprihatinan sempena Ramadan dan menjelang Syawal. 

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran 30 pelajar Pusat Pengajian Tafaqquh Tahfiz Al-Makki serta 20 anak yatim dari Kampung Niup, yang menyerlahkan semangat ihsan, santunan dan kebersamaan terhadap golongan yang memerlukan.

Kenaikan kadar Bantuan Program Tanam Semula Getah bagi Sarawak membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap dasar dan program memberi manfaat nyata kepada rakyat desa. 

Kerajaan akan memastikan RISDA kekal sebagai agensi peneraju yang berupaya membawa perubahan kepada komuniti pekebun kecil demi kesejahteraan desa dan kemajuan negara.-BH Online