Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RAMUAN kepelbagaian kaum yang didukung Kerajaan Perpaduan akan dapat mengembalikan keharmonian negara.

Ketua Sekretariat Media Perpaduan Datuk Lokman Noor Adam berkata, kerjasama parti Melayu dan bukan Melayu membentuk Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menoktahkan politik perkauman.

Tegasnya, landskap politik Malaysia memerlukan kerjasama semua kaum dalam membentuk kerajaan yang stabil sekali gus memacu semula negara ke landasan yang lebih berjaya.

“No way, tidak ada parti Melayu yang boleh jadi dominan lagi tanpa bukan Melayu, dalam negara ini, tiada lagi.

“Tak mungkin boleh berlaku lagi, itu sebab bagi saya ramuan hari ini dah cukup cantik, Kerajaan Perpaduan yang dalamnya ada parti terbesar orang Melayu dan juga mendapat sokongan paling besar bukan Melayu.

“Inilah ramuan kestabilan. Tetapi kalau rakyat lebih cerdik daripada 2018, 2022, rakyat bagi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan ini, kita akan memiliki kerajaan yang stabil yang sangat kuat.

“Kita akan kembalikan keharmonian negara ini. Kita akan jadikan Malaysia sebuah negara yang cukup hebat,” katanya dalam klip video di Facebook.

Mengulas lanjut, Lokman yang juga Pengarah Sekretariat Media Perpaduan berkata, Umno masih lagi menjadi parti terbesar orang Melayu meskipun dilanda pelbagai dugaan dan ujian.

“Bila kita bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) ini, Umno masih lagi parti orang Melayu paling besar, walaupun ahli kita ada yang khianat, lari tak mengundi kita, atas pagar ke tak nak keluar mengundi ke, tak boleh nafikan ahli kita paling ramai dan parti yang mempunyai keahlian orang Melayu paling ramai.

“PH hari ini ialah parti yang mendapat dukungan 98 peratus bukan Melayu. Cuba kita bayangkan Melayu dan bukan Melayu bergabung, ia akan berhentinya politik perkauman,” katanya.

Lokman menjelaskan, ramuan Kerajaan Perpaduan ini amat ditakuti Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha mereka mendapat sokongan rakyat.

“Sebenarnya yang Bersatu, Mahathir, Haji Hadi takut ini, akhirnya rakyat nampak di bawah Kerajaan Perpaduan ini Islam terjaga, Melayu okay, Bahasa Melayu dan Raja Raja Melayu okay, akhirnya rakyat kata Kerajaan Perpaduan ni okay, jadi kenapa kita nak tolak, mereka bimbang tentang itu.

“Mahathir lah yang memecahkan Melayu. Saya nak beritahu, tidak ada satu parti politik Melayu yang jadi dominan dalam negara ini, yang boleh memerintah aman, stabil tanpa bukan Melayu.

“Bila Melayu dah pecah banyak, buatlah ramuan macam mana pun, yang hanya boleh parti Melayu membentuk kestabilan kerajaan dengan parti bukan Melayu.

“Contohnya, betapa hebatnya PN mendapat sokongan orang Melayu, mereka menang 74 kerusi Parlimen. Tapi tanpa bukan Melayu mereka boleh bentuk kerajaan? Tak boleh,” katanya.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada 24 November dianggotai 18 parti, yang memiliki 147 kerusi Parlimen.

Manakala, PN yang disertai PAS, Bersatu dan Gerakan serta sokongan Muda membentuk pakatan pembangkang dengan 75 kerusi. – Media Perpaduan