Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengekalkan keistimewaan dan nilai warisan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai antara mercu tanda utama ibu negara yang menjadi tumpuan warga kota serta pelancong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata usaha menaik taraf bangunan ikonik itu menjadikannya semakin menarik, khususnya pada waktu malam apabila dihiasi dengan pencahayaan yang lebih menonjol.

Beliau berkata, perubahan itu turut menjadikan kawasan sekitar Dataran Merdeka kembali meriah dengan kehadiran pengunjung termasuk pelancong yang ingin merasai suasana berbuka puasa di ibu negara.

“Walaupun program berbuka puasa beramai-ramai di dataran ini sudah dianjurkan sejak 14 tahun lalu, kali ini ia lebih istimewa kerana Bangunan Sultan Abdul Samad telah dinaik taraf.

“Sekarang bangunan ini menjadi tular dan ‘trending’ di media sosial, terutama pada waktu malam apabila dihiasi dengan pencahayaan yang menarik,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Program Iftar Ramadan dan Malam 7 Likur 2026 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Mohd Rafiq Razali; Ketua Pegawai Inovasi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Kandungan dan Rangkaian Televisyen MPB, Amir Rashidi Johari serta Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

Hannah berkata, kerajaan juga berhasrat untuk terus memelihara kawasan lapang seperti Dataran Merdeka supaya warga kota mempunyai ruang untuk beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga.

Katanya, selepas pandemik COVID-19, orang ramai semakin gemar makan di luar bersama keluarga dan keadaan itu mendorong kerajaan untuk mengadakan lebih banyak program kekeluargaan di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, kita memohon kerjasama semua pengunjung supaya menjaga kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Jika tidak, pindaan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang membuang sampah merata-rata, termasuk dikenakan hukuman kerja komuniti,” katanya.-BH Online