Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kerajaan mengambil keputusan mengekalkan harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter walaupun terpaksa menanggung subsidi yang besar berikutan kenaikan harga minyak dunia ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata harga itu masih dikekalkan dan kerajaan menanggung subsidi hingga RM4.6 bilion pada tahun ini jika harga semasa diesel tidak berubah.

Berbanding tahun lalu, katanya, subsidi diesel di Sabah dan Sarawak hanya RM2 bilion atau masing-masing RM1 bilion berdasarkan harga diesel sebelum ini.

“Berapa subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak tahun lalu? RM2 bilion dan setakat ini Kerajaan Persekutuan harus bayar kepada Sabah dan Sarawak RM4.6 bilion, RM2 bilion untuk Sabah dan RM2 bilion lebih untuk Sarawak.

“Tapi, tanggungjawab kita meringankan nasib rakyat. Berapa harga diesel di pam, RM2.15 dan berapa kos sebenar, RM4.30, dua kali ganda.

“Setiap kali beli minyak RM2.15, kos sebenar RM4.30, siapa yang bayar lebih? Kerajaan Persekutuan, bila kita faham ini maka kita hiduplah dengan baik,” katanya ketika melancarkan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026, di sini, hari ini.

Program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Anwar berkata, walaupun berlaku lonjakan harga minyak dunia yang turut menyebabkan kenaikan harga pasaran diesel di Malaysia, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga diesel RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak dan kadar itu kekal buat masa ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia pada kadar RM1.99 seliter.

“Selain di Brunei, inilah harga terendah di dunia. Dengan mengekalkan harga pada RM1.99 seliter, subsidi kerajaan untuk BUDI95 meningkat kepada RM2 bilion sebulan daripada sekitar RM300 juta. 

“Kalau kekal pada harga semasa, ini membabitkan subsidi RM24 bilion setahun,” katanya.

Katanya, berdasarkan keadaan sekarang, negara masih bertahan untuk beberapa bulan sebelum perkara itu dirunding semula mengikut keperluan semasa.

“Bulan April bertahan lagi, bulan Mei insyaAllah bertahan lagi, selepas itu kita kena panggil semua runding. Kalau setakat ini minyak RON95 saja berapa?.

“RM4.6 bilion itu diesel, berapa RON95 kita tampung tiap tahun, tiap bulan. Setiap bulan RON95 nak kawal harga RM2 bilion sebulan dan RM24 bilion setahun.

“Siapa kena bayar? Persekutuan kena bayar, berapa lama boleh tahan? Orang tak peduli kerajaan Malaysia berapa lama tahan bayar,” katanya.

Anwar bagaimanapun berharap situasi perang di Asia Barat yang menyebabkan kenaikan harga minyak dunia dapat diselesaikan dengan baik secepat mungkin.-BH Online