Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan komited mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil, selaras sasaran mencapai pelepasan sifar karbon bersih menjelang 2050.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan sudah merangka pelan peralihan tenaga melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang memberi tumpuan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif seperti solar dan hidro.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa perkara perlu dilihat dalam isu transisi tenaga itu bagi mencapai sasaran berkenaan.

“Satu kelebihan tenaga boleh baharu ini adalah ia tidak akan habis, maksudnya secara logiknya dalam penggunaan solar itu, selagi ada sinaran kita terus dapat menjana tenaga.

“Tenaga boleh baharu juga kelebihannya yang kedua, bersifat domestik maksudnya ia tidak bergantung dari segi import bahan bakar atau tidak terganggu dari sudut rantaian bekalan tenaga secara keseluruhan.

null

“Maka sebab itu kita sudah atau sedang melalui transisi peralihan tenaga, apabila pakar ataupun ahli akademik memberi gambaran Malaysia perlu tumpu kepada peralihan tenaga ini, kerajaan bersetuju dan kini melakukannya,” katanya selepas Program Jualan Rahmah Parlimen Johor Bahru di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah di sini, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, proses peralihan tenaga itu boleh memberi kesan jika berlaku sebarang gangguan terhadap ekosistem bekalan tenaga global.

Katanya, penggunaan TBB negara kini sudah mencecah kira-kira 25 peratus daripada kapasiti tenaga terpasang dan ia menjadi asas untuk kerajaan menilai langkah mempercepatkan lagi proses peralihan tenaga pada masa hadapan.

“Pada masa sama, kesan ketika ini bila berlaku mana-mana gangguan terhadap ekosistem bekalan tenaga itu pasti nampak kesannya.

“Ini juga menjadi pedoman kita untuk terus lihat jika ada cara selepas ini untuk percepatkan lagi proses peralihan tenaga,” katanya.-BH Online