KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), dilaporkan selamat selepas satu serangan udara Israel berlaku berhampiran kedudukan mereka di selatan negara itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kejadian berhampiran kedudukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang menjalankan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kawasan berkenaan.
Katanya, serangan udara oleh Israel Defence Forces (IDF) dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.35 pagi waktu tempatan kira-kira 100 hingga 200 meter dari sebuah pos kawalan MALBATT.
“Serangan itu dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani.
“Serangan susulan dilaporkan berlaku sekitar jam 3.02 pagi yang menyebabkan kerosakan kepada beberapa kemudahan serta kawasan penginapan di pos kawalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata ketika kejadian, seorang pegawai Malaysia bersama lapan anggota lain yang berada di pos kawalan itu diarahkan oleh Pusat Operasi Taktikal MALBATT (TOC) untuk berundur sebagai langkah keselamatan.
Katanya, kumpulan berkenaan kemudian bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan (LAF) ke lokasi selamat dan tiba di kawasan berkenaan kira-kira jam 4.12 pagi waktu tempatan.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kalangan anggota Malaysia atau Lubnan, dan semua senjata serta peralatan berada dalam keadaan selamat dan lengkap.
“Pegawai perubatan turut menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik serta kekal pada tahap kesiapsiagaan operasi yang tinggi,” katanya.
Mohamed Khaled menegaskan keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang berkhidmat dalam misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
“Melalui Markas Angkatan Bersama (MAB), kementerian akan terus memantau rapat perkembangan di kawasan operasi serta bekerjasama rapat dengan UNIFIL dan rakan misi pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terjamin,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui pada Program Majlis Berbuka Puasa, Penyerahan Bubur dan Sumbangan Kotak Rezeki Bersama Komuniti Permas, Johor anjuran BHPetrol di Masjid Bandar Permas Jaya, malam ini, Mohamed Khaled bersyukur semua anggota MALBATT 850-13 terselamat dalam serangan itu.
“Kita mengambil langkah berjaga, lebih-lebih lagi sekiranya kita dapat maklumat akan berlaku serangan. Rondaan tidak dibenarkan, pasukan diarahkan untuk sentiasa berada dalam bunker (kubu bawah tanah).
“Serangan yang baharu saja dilalui pada hari ini, kita bersyukur walaupun ia tidak jauh daripada kawasan tanggungjawab MALBATT, namun semuanya selamat, tidak mengalami kecederaan kerana kita memberi amaran awal.
“Seramai 532 anggota berada di situ. Kita di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita ikut arahan. Saya sepatutnya berbuka puasa dengan mereka pada minggu lalu namun pada hari yang saya sepatutnya pergi merupakan hari kedua terdapat serangan Amerika dan Israel terhadap Iran dan seterusnya serang Lubnan,” katanya.-BH Online
