Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat susulan ketegangan di rantau berkenaan diminta memaklumkan kepada Wisma Putra, jika mereka sudah memperoleh penerbangan pulang ke tanah air bagi memudahkan proses pengurusan dan mengemaskini data.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata terdapat kalangan mereka yang terbabit tidak menghubungi kementerian atau kedutaan selepas memperoleh tiket penerbangan pulang sehingga menyukarkan usaha pemantauan.

“Pihak kita termasuk kedutaan sentiasa memantau dan menghubungi rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara di Asia Barat setiap hari untuk mengemas kini data.

“Mereka diminta memaklumkan kepada Wisma Putra sekiranya sudah memperoleh penerbangan pulang ke tanah air.

“Ini penting bagi membolehkan pihak kementerian mengemas kini senarai rakyat Malaysia yang masih terkandas,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan di Dewan Orang Ramai Taman Kelab Tuanku, Mambau, di sini hari ini.

Malam tadi, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan bilangan rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Asia Barat sudah berkurangan kepada 641 orang.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa semua yang dihubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia dilaporkan selamat, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas bersama United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di Lubnan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, lebih separuh rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat telah berjaya pulang ke tanah air setakat ini.

“Setiap hari ada yang pulang, namun terdapat kekangan dari segi penerbangan. Sebagai contoh, syarikat penerbangan Emirates sebelum ini mempunyai tiga penerbangan sehari ke Kuala Lumpur tetapi kini hanya satu penerbangan beroperasi.

“Keadaan ini menyebabkan proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas mengambil masa,” katanya menegaskan tumpuan adalah kepada rakyat negara ini yang terkandas berbanding mereka yang menetapkan di sana.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pelan evakuasi yang diluluskan oleh Kabinet akan diaktifkan apabila diperlukan bagi membantu rakyat negara ini termasuk pelajar.

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan keselamatan di rantau berkenaan ketika ini dilaporkan mula reda susulan kenyataan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memaklumkan tidak akan menyerang negara-negara Teluk buat masa ini.

Namun begitu, katanya, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri dan Majlis Keselamatan Negara akan terus memantau perkembangan konflik di rantau terbabit setiap hari.

“Kita menjangkakan perang ini belum berakhir dan berkemungkinan berlarutan kerana Iran mempunyai kekuatan tersendiri manakala Amerika Syarikat pula mahu melihat perubahan kepemimpinan kerajaan di Iran.

“Selagi perkara ini tidak berlaku, saya tidak menjangka konflik ini akan berakhir dalam masa terdekat kerana Amerika Syarikat juga dilihat terus menghantar lebih banyak tenteranya ke kawasan Teluk,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan sekali lagi rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke negara-negara berkenaan termasuk bagi menunaikan umrah supaya menangguhkan dulu buat sementara waktu.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kerana kawasan ini berpotensi menjadi medan konflik. Jika perang tercetus semula, ruang udara boleh ditutup sekali gus menyukarkan pergerakan dan menyebabkan orang ramai terkandas,” katanya.-BH Online