BUTTERWORTH, 24 April – Projek Jalur Lebar Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dijangka siap sekurang-kurangnya 11 bulan lebih awal dari jadual asal.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif pelaksanaan projek berkenaan.
Setakat ini, kesemua 30 unit RKAT Perumahan Pegawai telah siap dan mula dimanfaatkan. Manakala, 100 unit rumah anggota di RKAT Pangsapuri Wira dalam proses penambahbaikan dan RKAT Pangsapuri Seri Bayu dijangka siap Mei ini.
“Malah untuk beberapa lokasi, saya difahamkan, contohnya bagi rumah pegawai yang kita lawati tadi, ia telah disiapkan lebih kurang 14 bulan lebih awal dari tarikh asal.
“Saya juga menjangkakan projek di Seri Pantai akan siap sekitar 11 atau 12 bulan lebih awal. Ini merupakan petanda yang positif dan saya akan terus memantau perkembangan ini”, katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau perkembangan Projek Jalur Lebar Rumah Keluarga Angkatan Tentera(RKAT) di Kem Pangkalan Udara Butterworth.
Di Pulau Pinang, tiga kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat di bawah inisiatif tersebut.
Ini termasuk Kem Pangkalan Udara Butterworth, Kem Sungai Ara dan Kem Bukit Gedong yang melibatkan 1,358 unit RKAT.-Berita RTM
