KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga memberi kelebihan kepada negara dalam menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global, khususnya ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat terus mempengaruhi pasaran minyak dan gas dunia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata status Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport tenaga membolehkan negara menikmati beberapa manfaat daripada kenaikan harga komoditi tenaga, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.
Namun, pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan tetap memberi tumpuan kepada kesan terhadap rakyat, khususnya dalam memastikan kos sara hidup tidak meningkat secara mendadak.
Katanya, sepanjang dua tahun lalu, kerajaan telah melaksanakan rasionalisasi subsidi secara berperingkat, yang mana langkah itu membolehkan sebahagian kos disalurkan ke dalam sistem ekonomi.
“Ia sekali gus membantu kerajaan menguruskan kedudukan fiskal negara dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap daya tahan ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, dalam konteks bekalan tenaga domestik, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan petrol dan gas di negara ini kekal stabil.
Menurutnya, Malaysia mempunyai bekalan gas yang kukuh memandangkan negara bukan saja pengeluar, malah pengeksport bersih komoditi itu.
Katanya, bekalan gas yang stabil penting bagi memastikan operasi utiliti serta sektor perindustrian berjalan lancar.
“Bekalan gas negara berada pada tahap baik dan mencukupi bagi kegunaan domestik, termasuk untuk utiliti dan pelanggan industri melalui rangkaian paip sedia ada,” katanya.
Selain itu, Amir Hamzah berkata, stok petrol negara juga berada dalam paras yang baik pada masa ini memandangkan Malaysia juga mempunyai pengeluaran domestik.
Justeru, katanya ia memberikan fleksibiliti untuk menguruskan bekalan dalam negara.
Menurutnya, walaupun kenaikan harga minyak dunia lazimnya akan memberi kesan kepada harga dalam negara, kerajaan mempunyai mekanisme bagi menguruskan kesannya terhadap rakyat.
Malah, tambahnya, Perdana Menteri juga sebelum ini memberi jaminan bahawa harga petrol bersubsidi akan kekal stabil sekurang-kurangnya bagi tempoh dua bulan akan datang sebagai langkah melindungi pengguna daripada turun naik harga global.
Dalam pada itu, Amir Hamzah juga berharap penyelesaian segera terhadap konflik yang berlaku di Asia Barat itu memandangkan kestabilan geopolitik adalah penting bagi memastikan kestabilan ekonomi global.
Menurutnya, sekiranya krisis itu tidak berpanjangan, Malaysia mempunyai keupayaan untuk bertahan.
“Kita memulakan tahun ini dengan asas yang sangat kukuh. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 5.2 peratus untuk keseluruhan tahun lalu.
“Kita bermula dengan jangkaan yang sangat tinggi, dan angka suku pertama masih kelihatan memberangsangkan pada ketika ini,” katanya.-BH Online
