KUALA LUMPUR: Industri perabot Malaysia perlu beralih daripada bersaing berdasarkan kos semata-mata kepada penciptaan nilai tinggi melalui inovasi, penjenamaan dan reka bentuk bagi memastikan daya saing berterusan di pasaran global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata perubahan itu penting memandangkan industri perabot dunia kini berkembang pesat dan menuntut produk yang bukan sahaja berkualiti, tetapi mempunyai identiti reka bentuk tersendiri.
Beliau berkata, Malaysia mahu melihat produk tempatan bukan sekadar dikenali sebagai ‘Made in Malaysia’, tetapi juga ‘Designed in Malaysia’, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam segmen perabot bernilai tinggi.
“Reka bentuk bukan lagi sekadar elemen estetika pilihan, sebaliknya menjadi pemacu utama bagi membezakan produk di pasaran serta membina identiti jenama yang kukuh,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad.
Menurut Noraini, prestasi industri perabot negara kekal kukuh dengan eksport produk kayu dan berasaskan kayu Malaysia bernilai lebih RM20 bilion setahun.
Daripada jumlah itu, katanya, perabot kayu menyumbang sebanyak 43.1 peratus daripada keseluruhan eksport sektor kayu negara.
“Prestasi ini sekali gus mengukuhkan kedudukan industri kayu sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada eksport komoditi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, produk perabot Malaysia terus mendapat permintaan tinggi di pasaran utama termasuk Amerika Syarikat (AS), Asia Barat, Australia dan negara ASEAN, sekali gus mencerminkan kualiti, kemahiran pembuatan serta kebolehpercayaan pengeluar tempatan.
Pada masa sama, Noraini berkata kerajaan turut menetapkan sasaran untuk meningkatkan eksport produk kayu kepada RM32.8 bilion menjelang 2030 melalui Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Beliau berkata, kementerian akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) bagi membantu industri meneroka pasaran baharu, mengamalkan amalan mampan serta meningkatkan nilai global perabot Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata pensijilan kelestarian seperti Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) yang diiktiraf Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) turut memberi kelebihan kepada pengeluar tempatan untuk menembusi pasaran sensitif ESG seperti Kesatuan Eropah dan Jepun.
“Selain itu, Malaysia juga sedang memperluas penggunaan bahan mampan alternatif seperti buluh serta biomas batang kelapa sawit bagi menukar sisa pertanian kepada sumber bernilai tinggi,” katanya.
Noraini berkata, MIFF terus memainkan peranan penting sebagai platform global yang menghubungkan industri perabot Malaysia dengan pembeli antarabangsa serta mempamerkan kreativiti pereka tempatan kepada pasaran dunia.
“MIFF bukan sekadar pameran perdagangan, tetapi simbol kemajuan, kreativiti dan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai peneraju global dalam perabot bernilai tinggi dan mampan,” katanya.-BH Online
