Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memerangi rasuah dan salah guna kuasa, melalui pelbagai dasar serta inisiatif bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kebebasan institusi penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelbagai langkah dirangka berdasarkan input Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Beliau berkata, komitmen kerajaan dalam memperkasa tatakelola dan membanteras rasuah kekal menjadi agenda utama negara, termasuk langkah khusus bagi memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban serta kebebasan institusi penguatkuasaan.

Antaranya ialah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang menggariskan lima strategi utama, termasuk penguatkuasaan yang memfokus ke aras meningkatkan kecekapan dan pengamalan profesionalisme dalam kalangan agensi penguat kuasa.

Selain itu, beliau berkata, Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang skop dasarnya sudah dipersetujui JKKTN.

Azalina berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan telah diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Ogos 2025 dengan memperkenalkan dua mekanisme penting membabitkan Panel Kajian Semula, iaitu satu pihak bebas yang boleh menyemak keputusan perolehan, serta Tribunal Rayuan Perolehan.

“Akta ini diwujud bagi memperkukuhkan tatakelola, ketelusan dan kecekapan dalam pelaksanaan perolehan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan laman web rasmi Parlimen, malam tadi.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) mengenai komitmen kerajaan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa, termasuk langkah khusus bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta kebebasan institusi penguatkuasaan. 

Mengulas lanjut, Azalina berkata, langkah seterusnya ialah pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

“Pindaan akta ini dilaksana bagi memperkasakan perlindungan pemberi maklumat bagi menggalakkan pendedahan maklumat berhubung sebarang jenayah rasuah atau salah laku, sekali gus memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan,” katanya.

Selain itu, katanya, RUU Kebebasan Maklumat digubal bagi memberi akses kepada rakyat mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

“Langkah ini diambil bagi memastikan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan melalui pembabitan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara selaras dengan NACS,” katanya.

Selain itu, Azalina berkata, kerajaan juga bersetuju melaksanakan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.

Katanya, ia sebagai usaha meningkatkan akauntabiliti serta kecekapan agensi penguatkuasaan dan memastikan keselamatan tahanan adalah terpelihara.

Selari dengan peranan Jabatan Audit Negara yang diperkukuhkan melalui pindaan terhadap Akta Audit 1957 pula, katanya, Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) akan ditubuhkan.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan tindakan yang lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi dilaksanakan secara proaktif selaras prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan serta integriti dalam pengurusan kewangan negara.

“Selain itu, seiring usaha kerajaan meningkatkan ketelusan dan kepercayaan awam terhadap sistem kehakiman negara, mesyuarat turut bersetuju untuk melaksanakan penstriman langsung perbicaraan rasuah pada peringkat Mahkamah Rayuan bagi tontonan umum.

“Penstriman langsung ini bukan saja mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras rasuah, malah meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara,” katanya.

Azalina berkata, satu lagi langkah ialah cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju dengan cadangan itu dengan mandat lebih luas merangkumi aspek salah tadbiran, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat yang mengutamakan kepentingan serta hak rakyat untuk mengajukan aduan.

Katanya, ia bagi mengatasi salah tadbiran dan salah laku dalam kalangan penjawat awam supaya tahap integriti sektor awam dapat dipertingkatkan.

“RUU Ombudsman dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2026,” katanya.

Selain itu, Azalina berkata, Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang ditubuhkan pada 8 Mei 2024, memberi fokus kepada profesionalisme agensi penguatkuasaan melalui penubuhan Kumpulan Fokus Penguatkuasaan yang diterajui oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

“Bagi meningkatkan integriti dan tadbir urus kementerian serta agensi kerajaan, kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) SP.1.2.1 Tahun 2022 telah memperuntukkan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Penubuhan ini bertujuan mengurus dan melaksanakan inisiatif penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan, pengesanan salah laku serta tindakan punitif secara lebih fokus, terancang, efisien dan optimum, termasuk dalam sektor pembinaan,” katanya.-BH Online