KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara terus terpelihara, dengan langkah diambil termasuk melancarkan Pelan Induk Kawalan Keselamatan Sempadan 2026-2030.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelan itu dilancarkan pada 8 Januari lalu sebagai kerangka dasar strategik yang menyeluruh untuk menangani cabaran keselamatan sempadan secara holistik dan sistematik.
“Ia menumpukan usaha memperkukuh operasi kawalan keselamatan sempadan serta memperkasa kapasiti kawalan negara, merangkumi strategi jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman web Parlimen, malam tadi.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai strategi jangka pendek serta jangka panjang kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara terus terpelihara, selaras ancaman keselamatan semasa dan perubahan geopolitik serantau.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, strategi berkenaan termasuk pengukuhan kerjasama operasi antara agensi melalui risikan, rondaan, pemantauan dan operasi bersepadu.
Selain itu, katanya, mengukuhkan jalinan kerjasama Malaysia dengan negara-negara jiran, serta membangunkan Sistem Kawalan Sempadan Negara (SKSN).
“SKNS dilengkapi sistem pengawasan terkini berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data.
“Ia bagi membolehkan operasi dilaksanakan tanpa pengawasan, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar (real time) serta pengawasan sepanjang masa,” katanya.
Seterusnya ialah pembinaan infrastruktur kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara, termasuk pos kawalan, jeti dan Forward Operation Base (FOB).
Selain itu, mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) tunggal bagi memudahkan penguatkuasaan undang-undang dan pengawalan keselamatan di sempadan dengan satu rujukan tunggal yang standard.-BH Online
