KUALA LUMPUR, 2 Mac – Sebanyak 90 peratus daripada 115,161 permohonan penurunan kandungan di platform media sosial telah dipatuhi dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sebanyak 103,986 permohonan dilaksanakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Manakala bagi permohonan bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, sebanyak 31 daripada 32 kes berjaya diturunkan mengikut kategori kesalahan yang dikenal pasti.
Menurut beliau, permohonan yang dikemukakan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 28 Februari melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penipuan kewangan, gangguan unsur lucah, gangguan sumbang, ugutan serta ucapan kebencian.
“Dari 1 Januari hingga 28 Februari tahun ini, sebanyak 32 permohonan telah dikemukakan kepada platform dan 31 daripadanya telah diturunkan. Antaranya melibatkan penipuan kewangan, gangguan unsur lucah yang semuanya diturunkan, gangguan sumbang, ugutan serta ucapan kebencian yang mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulai, Suhaizan Kaiat mengenai statistik pematuhan serta trend penurunan kandungan selepas dua bulan pelaksanaan Peruntukan Deeming.
Teo berkata, walaupun pelaksanaan pelesenan baharu masih di peringkat awal, kadar pematuhan dalam kalangan penyedia perkhidmatan media sosial dilihat memberangsangkan.
Selain itu, beliau memaklumkan syarikat media sosial asing diwajibkan melantik wakil tempatan di Malaysia sebagai salah satu syarat pelesenan di bawah Peruntukan Deeming.-Berita RTM
