KUALA LUMPUR, 2 Mac – Cadangan supaya institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah beroperasi lebih 10 tahun disediakan bangunan kekal di kawasan strategik perlu dilihat dalam kerangka pelan pembangunan nasional yang menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyediaan infrastruktur TVET tidak bergantung semata-mata kepada tempoh operasi.
Sebaliknya, ia perlu mengambil kira unjuran kemasukan pelajar, kesesuaian lokasi, keperluan fasiliti serta keutamaan pembangunan di peringkat negeri dan Persekutuan selaras dengan perancangan fizikal serta kewangan negara.
“Penyediaan infrastruktur TVET tidak ditentukan semata-mata berdasarkan tempoh operasi, sebaliknya mengambil kira pelbagai faktor seperti unjuran enrolmen, kesesuaian lokasi, keperluan fasiliti serta keutamaan pembangunan di peringkat negeri dan Persekutuan selaras dengan perancangan fizikal dan kewangan negara,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan latihan berasaskan industri, perantisan dan pembelajaran berasaskan kerja membolehkan pelatih mengikuti latihan secara lebih fleksibel tanpa terlalu bergantung kepada kemudahan asrama kekal.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan kerajaan komited memperkukuh tadbir urus bencana menerusi Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang menyasarkan peningkatan strategi pengurusan risiko di peringkat negeri dan daerah menjelang 2030.
Menyentuh pembangunan luar bandar, beliau berkata sebanyak 203 projek jalan di pedalaman Sabah dan Sarawak dengan kos keseluruhan RM19.39 bilion telah diluluskan bagi tahun 2026.
Selain itu, kementerian kini beralih kepada penggunaan lampu solar secara berperingkat di bawah Program Lampu Jalan Kampung (LJK), dengan Selangor merekodkan pemasangan tertinggi setakat ini sebanyak 25,613 unit.
Ahmad Zahid turut memberi jaminan terhadap isu generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) apabila kerajaan sedang melaksanakan kajian menyeluruh terhadap Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530] bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu tapak asal yang dirancang.-Berita RTM
