Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Buat julung kalinya, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Pendidikan Khas bagi murid bermasalah pendengaran diperkenalkan di Kuala Lumpur sebagai langkah memperkasa pendidikan Islam inklusif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif perintis oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini bertujuan memastikan anak-anak istimewa tidak tercicir daripada pembelajaran al-Quran dan asas fardu ain.

“Semua murid yang hadir adalah anak-anak OKU pendengaran. Mereka dilatih untuk membaca al-Quran dan mempelajari fardu ain. Alhamdulillah, mereka nampak gembira dan kini boleh memahami ajaran al-Quran serta agama kita. Ini menunjukkan semua anak-anak termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas boleh belajar agama,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan pembukaan KAFA Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) di Pandan Perdana.

Pada peringkat awal, kelas ini mempunyai 10 murid bermasalah pendengaran yang dibimbing oleh dua guru berpengalaman dan terlatih dalam kaedah pengajaran pendidikan khas. Pendekatan pengajaran menekankan kefahaman al-Quran dan asas fardu ain secara efektif dan inklusif.

Dr Zulkifli Hasan memaklumkan, kejayaan inisiatif perintis ini akan dijadikan model untuk diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara secara berperingkat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan.-Berita RTM