KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) kini memantau perkembangan konflik yang sedang berlaku di Iran bagi memastikan keselamatan dan kebajikan bakal jemaah haji negara sentiasa terpelihara.
Susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau Timur Tengah itu, ruang udara di kawasan terbabit dilaporkan terjejas teruk sehingga menyebabkan semua operasi penerbangan pergi dan balik dari wilayah berkenaan terpaksa digantung buat masa ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, menegaskan bahawa pihak pengurusan TH sedang menilai keadaan semasa dengan teliti dan akan mengeluarkan pemakluman seterusnya kepada umum pada masa yang sesuai.
Beliau berkata, sebarang tindakan susulan oleh TH berkaitan tanggungjawab terhadap bakal jemaah akan diputuskan berdasarkan nasihat serta maklumat rasmi yang diterima daripada rakan syarikat penerbangan, pihak berkuasa Arab Saudi dan Wisma Putra.
Sehubungan itu, TH memberi jaminan bahawa keselamatan nyawa dan kebajikan setiap bakal jemaah haji Malaysia tetap menjadi keutamaan tertinggi agensi berkenaan dalam mendepani krisis ini.
Orang ramai dan bakal jemaah dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan pengumuman rasmi daripada pihak TH melalui saluran komunikasi berwibawa bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.-BH Online
