KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh kapasiti, latihan serta kesiapsiagaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaras dengan usaha membina Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan risiko bencana yang semakin kompleks.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap kali negara diuji dengan bencana seperti banjir, kebakaran mahupun tanah runtuh, anggota APM sentiasa menjadi antara pasukan terawal yang turun ke lapangan.
“Mereka hadir dengan penuh dedikasi, berganding bahu bersama agensi penyelamat lain menghulurkan bantuan dan memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat.
“Sesungguhnya, dedikasi dan pengorbanan wira dan wirawati Pertahanan Awam dalam menjaga keselamatan serta kebajikan rakyat amat besar maknanya kepada negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena sambutan Hari Pertahanan Awam Sedunia ke-95 hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga APM yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam pengurusan bencana, operasi menyelamat serta bantuan kemanusiaan.
“Semoga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terus kekal teguh, berwibawa dan menjadi benteng keselamatan rakyat. Insya-Allah,” katanya.– BERNAMA
