Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan semua rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara akibat pembatalan penerbangan, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, kekal selamat.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, perwakilannya sedang menghulurkan bantuan dan sedang berhubung dengan rakyat Malaysia yang terkandas, antaranya di Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, keutamaan mutlak pihak kementerian adalah memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di negara terjejas, selain memantau secara berterusan perkembangan persekitaran yang tidak menentu di Asia Barat dengan melaksanakan tindak balas konsular yang diselaraskan.

“Perwakilan diplomatik kementerian juga menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa buah negara akibat pembatalan penerbangan.

“Berikutan situasi semasa yang tidak menentu dan gangguan penerbangan serta penutupan ruang udara secara tiba-tiba, kami menasihatkan semua pengembara Malaysia berhubung terus dengan syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan jadual penerbangan dan pelarasan laluan yang terkini.

“Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di Putrajaya sedang giat menyelaraskan usaha konsular,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Semalam, Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan kerjasama AS melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, sekali gus mencetuskan letupan kuat di sekitar ibu kota Iran iaitu Tehran dan memaksa pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dipindahkan ke lokasi rahsia.

Sehingga kini, serangan terbaharu yang menyasarkan sebuah sekolah di Iran oleh AS mengorbankan 108 orang.

Pada masa sama, Kementerian Luar turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya melaksanakan tiga tindakan termasuk menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke Asia Barat pada masa terdekat, susulan serangan terbabit.

Menurutnya, rakyat Malaysia juga dinasihatkan mendaftar keberadaan mereka dengan segera melalui E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my untuk memudahkan komunikasi dan bantuan. 

Selain itu, katanya, mereka juga perlu mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan secara ketat, berlindung di tempat yang selamat jika dinasihatkan, dan sentiasa mengikuti laman media sosial rasmi perwakilan diplomatik Malaysia untuk kemas kini tempatan semasa.

“Kementerian menggesa semua rakyat Malaysia supaya kekal tenang, mengelakkan penyebaran khabar angin yang tidak disahkan, dan hanya bergantung kepada sumber berita rasmi serta saluran rasmi kementerian untuk mendapatkan maklumat tepat.

“Bagi mendapatkan bantuan kecemasan konsular, rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang tidak dapat menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian secara terus di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my,” katanya.-BH Online