Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil tindakan segera dengan mengendalikan kes seorang kanak-kanak cedera selepas didakwa dicampak ke dalam parit oleh bapanya dalam kejadian yang dilaporkan di Saratok.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata petugas pelindung kanak-kanak turut menziarahi kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu, yang kini dirawat di hospital.

“Pelindung kita sudah mengendalikan kes ini. Kanak kanak itu berada di hospital dan kita masih menunggu perintah mahkamah berhubung penjagaan sementara,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Ramadan Prihatin Kempen Keselamatan Jalan Raya Penyerahan Bubur Syura dan Sumbangan Bakul Makanan di Masjid Darul Hana hari ini.

Nancy berkata kes berkenaan turut membabitkan proses perceraian antara ibu dan bapa mangsa, justeru mahkamah perlu menilai secara menyeluruh sebelum membuat keputusan mengenai penjagaan sementara kanak kanak itu.

“Kita tidak boleh mendahului mahkamah. Mahkamah akan menilai keadaan kedua dua ibu bapa termasuk kemampuan ibu untuk menjaga anak itu. Jika perlu kita juga akan melihat kepada ahli keluarga terdekat yang layak dan sesuai,” katanya.

Menurutnya, jika tiada pihak keluarga yang sesuai, kanak kanak berkenaan boleh diletakkan di bawah jagaan JKM buat sementara waktu.

“Biasanya keputusan penjagaan sementara akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan penilaian saksi dan laporan berkaitan. Kita jangka perkembangan lanjut minggu depan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki di Saratok ditahan polis selepas dipercayai mencampakkan anaknya ke dalam parit sehingga menyebabkan kecederaan. Kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan berasingan, program Ramadan Prihatin anjuran kementerian itu menyaksikan pengagihan 1000 bakul makanan, bubur lambuk dan kurma kepada komuniti di dua lokasi iaitu Masjid Darul Hana serta Pangkalan Polis Bintawa dan Petronas Ulu Bintawa.-BH Online