JOHOR BAHRU: Kerajaan akan meneliti secara menyeluruh impak ekonomi negara susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, dengan tumpuan utama terhadap kestabilan bekalan tenaga serta rantaian ekonomi global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata masih terlalu awal untuk membuat telahan menyeluruh mengenai tahap gangguan terhadap ekosistem ekonomi dunia, namun perkembangan geopolitik itu tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, antara aspek utama yang akan dinilai ialah hubungan langsung Malaysia dengan Iran serta kesan lebih luas terhadap suasana geopolitik global yang sememangnya menjadi cabaran utama ekonomi dunia pada tahun ini.
“Sudah pasti satu sudut penting yang akan dinilai adalah soal pengeluaran petrol dan gas kerana Iran memainkan peranan di peringkat rantau dan juga dunia.
“Selain itu, kita perlu melihat kesan berantai terhadap keseluruhan rantaian ekonomi global,” katanya ketika diminta mengulas jangkaan kenaikan harga minyak dan gas dunia susulan konflik terbaru berkenaan.
Akmal Nasrullah berkata, pergerakan harga pasaran dunia adalah satu mekanisme utama, namun pada masa sama terdapat mekanisme lain yang digunakan oleh negara pengeluar bagi menguruskan soal pengeluaran dan harga.
“Negara kita juga terbabit dalam beberapa mekanisme itu. Jadi, ia menjadi panduan bagaimana dunia menguruskan isu pengeluaran dan harga di pasaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh daya tahan domestik agar ekonomi negara kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan global.
“Di peringkat negara, kita tidak boleh mengambil mudah sebarang gangguan. Kita perlu mempertingkatkan kekuatan dalaman supaya apabila cabaran dunia mendatang, ia tidak menjejaskan ekonomi negara,” katanya.-BH Online
