Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan berjumlah RM1,093,810.65 menerusi Ops Pantau di seluruh negara setakat Khamis lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata operasi yang bermula 19 Februari lalu itu membabitkan 16,059 pemeriksaan di lokasi tumpuan termasuk bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya serta kedai dengan 295 kes dikenalpasti.

“Jumlah ini (daripada keseluruhan 295 kes) termasuk 229 kes melibatkan pengeluaran kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM57,500. Pelanggaran tertinggi dikesan adalah kegagalan memaparkan tanda harga dengan 143 kes, diikuti kesalahan alat timbang dan sukat dengan 78 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di pekarangan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, di sini, hari ini.

Armizan menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Pantau. 

“Pengguna dinasihatkan agar terus menjadi mata dan telinga kementerian dengan menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi KPDN sekiranya mendapati sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.

Mengulas mengenai Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), Armizan berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 1,898 siri penganjuran sepanjang Ramadan di seluruh negara. 

“Semua siri ini menawarkan pelbagai barangan basah dan kering yang menjadi keperluan utama untuk persiapan berbuka puasa, termasuk penyediaan kuih muih tradisi. Sehingga 28 Februari lepas, sebanyak 541 siri PJRM Ramadan dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.-BH Online