KUALA LUMPUR: Dua pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang masing-masing dalam penerbangan antarabangsa berpatah balik dan dilencongkan berikutan kemungkinan ketegangan di ruang udara sekitar Iran.
MAS dalam kenyataan berkata penerbangan MH160 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Doha berpatah balik ke Kuala Lumpur manakala MH156 ke Jeddah dilencongkan ke Chennai, India berikutan nasihat keselamatan dan ‘peningkatan risiko ruang udara’.
Katanya, tindakan itu dilaksanakan selaras dengan protokol lencongan kawasan konflik yang ditetapkan.
“Kedua-dua penerbangan kini selamat tiba di KLIA.
“Penumpang yang terjejas sudah dibantu dengan pengaturan penerbangan alternatif dan penginapan hotel, sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
MAS berkata pihaknya akan terus memantau rapi situasi terkini dan mengambil semua langkah yang diperlukan bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat dan dipercayai.
“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan tertinggi MAS,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan ketegangan meningkat antara Amerika Syarikat dan Iran yang menyebabkan beberapa negara mengarahkan rakyat masing-masing keluar dari republik itu.-BH Online
