KUALA LUMPUR, 24 Februari– Kerajaan meminta syarikat konsesi untuk masih menangguhkan kenaikan semakan semula kadar tol bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu membolehkan pengguna terus menikmati kadar tol sedia ada, tanpa sebarang kenaikan dalam masa terdekat.
“Kerajaan mengambil kira bahawa rakyat masih menghadapi pelbagai cabaran hidup serta kos sara hidup yang tinggi. Oleh itu, buat masa ini, kerajaan meminta syarikat-syarikat konsesi menangguhkan semakan kenaikan kadar tol,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2930 (CAP 30).
Tambah beliau, penangguhan berkenaan bukan bermakna tol diberikan secara percuma, sebaliknya kerajaan menanggung kos yang sepatutnya dibayar oleh pengguna.
Sebelum ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya yang sepatutnya berkuat kuasa tahun lalu mengikut perjanjian konsesi asal.
Antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).-Berita RTM
