Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 23 Februari– Pelantikan Ashwad Ismail sebagai Ketua Pengarah Penyiaran (RTM) dan Dr. Sharifah Adlina Syed Abdullah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) diharap dapat terus memperkukuh usaha dalam memacu industri penyiaran negara yang semakin mencabar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kehadiran kedua-dua figura itu amat bertepatan dengan peredaran zaman dan transformasi digital dalam dunia penyiaran pada masa ini.

“Sebelum ini, Saudara Ashwad berpengalaman selama 19 tahun dalam dunia korporat dan saya percaya beliau mampu membawa kepakaran serta perspektif tersebut bagi membantu kita meneruskan agenda transformasi dan usaha penambahbaikan yang telah dimulakan oleh Datuk Suhaimi.”

“Bagi meneruskan momentum yang telah dibawa oleh Datuk Suhaimi, yang hadir dengan nafas baharu, kita mahu memperkukuh lagi momentum itu supaya ia menjadi lebih kuat dan berimpak besar kepada organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ashwad dan Dr. Sharifah di pejabatnya hari ini.

Dalam pada itu, Ashwad komited dalam meneruskan legasi Datuk Suhaimi Sulaiman, mantan Ketua Pengarah Penyiaran memacu transformasi penyiaran ke arah yang lebih inovatif dan berdaya saing.

“Saya bersama pasukan, termasuk Dr. Sharifah, melihat pada peringkat awal bahawa untuk meneruskan momentum ini, kita perlu benar-benar memahami perubahan landskap yang sangat pantas.”

Perubahan itu melibatkan corak penggunaan media, model perniagaan di sebaliknya serta, paling penting, penyampaian mesej kerajaan kepada rakyat. Semua aspek ini perlu diberi tumpuan dan fokus secara menyeluruh bagi memastikan peranan organisasi kekal relevan dan berkesan,” katanya.-Berita RTM