KUALA LUMPUR, 23 Februari – Sebanyak RM3 juta diperuntuk khusus bagi latihan penjagaan dengan sasaran melahirkan seramai 1,700 orang penjaga warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengukuhan kapasiti dan kemahiran penjagaan melalui latihan tersebut dilihat dapat meningkatkan penawaran perkhidmatan penjagaan yang berkualiti.
Jelasnya, kerajaan komited menjadikan tenaga kerja penjagaan sebagai satu kerjaya yang berkemahiran dan berstruktur.
Ia selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-13 untuk melahirkan 50,000 orang penjaga profesional menjelang tahun 2030 dan memperkukuh sistem penjagaan negara.
“Ini sekali gus boleh mengurangkan kebergantungan kepada penjaga tidak berbayar atau unpaid carer dalam keluarga.
“Melalui inisiatif penyediaan sokongan penjagaan yang lebih terancang, diyakini dan mampan ini, ia juga secara langsung menyokong matlamat kerangka ekonomi madani iaitu meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan kepada 60 peratus”, katanya.
Datuk Seri Nancy Shukri berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (Betong) di Dewan Rakyat.
Tambahnya, mulai tahun ini juga, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut melaksanakan Latihan Pengajar atau Training of Trainers (TOT) bagi memperluas kapasiti latihan penjagaan melalui agensinya iaitu Institut Sosial Malaysia (ISM) dan pusat-pusat latihan penjagaan sedia ada yang berkelayakan, termasuk di lokasi terpilih berdasarkan keperluan setempat.-Berita RTM
