Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

POLIS mendapati penganjur Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dirancang pada Sabtu ini tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata beberapa butiran penting tidak dinyatakan oleh penganjur dalam notis pemakluman awal mereka.

“Mereka tidak menyatakan butiran penting seperti nama penganjur perhimpunan serta lokasi tempat berhimpun.

“Bagaimanakah perkara penting seperti ini tidak diambil peduli oleh pihak penganjur yang terdiri daripada individu berpengalaman dalam mengadakan demonstrasi sebelum ini.

“Sepatutnya mereka lebih arif dalam notis pemakluman kepada polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Mohd Suhaily berkata semua pihak yang ingin berhimpun harus tahu bahawa mereka perlu menyerahkan notis pemakluman kepada polis lima hari sebelum berhimpun.

“Mereka perlu menyatakan di mana lokasi berhimpun serta nama pihak penganjur dan sehingga hari ini tiada sebarang notis diterima dan risikan mendapati lokasi himpunan mereka berubah dari semasa ke semasa.

“Risikan terbaru kami mendapati ia akan diadakan di sebuah masjid di Kampung Baru, di sini,” katanya apabila ditanya mengenai pertubuhan baju merah yang juga merancang berhimpun pada Sabtu ini.

Mohd Shuhaily berkata, tanpa pengesahan jelas dari penganjur boleh membawa kepada pelbagai masalah termasuk kesulitan kepada pengguna jalan raya dan orang awam.

“Kami berharap penganjur dapat lebih bertanggungjawab dalam isu ini dan pihak polis belum lagi berada dalam tahap untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang pihak tertentu daripada berada di mana-mana kawasan tertentu.

“Polis tidak mahu bertindak keterlaluan, kami akan menyediakan keanggotaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. -Media Perpaduan