Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Defisit fiskal dijangka terus turun kepada 3.5 peratus berdasarkan Belanjawan 2026, hampir mencapai sasaran jangka masa sederhana 3.0 peratus mengikut Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023, sekali gus mencerminkan disiplin fiskal yang semakin kukuh.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata disiplin fiskal dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keseimbangan antara pengurangan defisit serta dasar fiskal yang mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

“Kita berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 4.1 peratus pada 2024, dengan sasaran 3.8 peratus pada 2025, sebelum dijangka turun lagi kepada 3.5 peratus pada 2026 berdasarkan Belanjawan 2026.

“Pengurangan ini dicapai antaranya melalui peluasan asas cukai termasuk penambahbaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta penyasaran subsidi terutama elektrik, diesel dan RON95,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata reformasi fiskal negara turut diiktiraf badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporannya pada Disember 2025.

Amir Hamzah berkata seiring langkah pengukuhan fiskal, pertumbuhan ekonomi juga telah mengatasi jangkaan walaupun mengalami ketidaktentuan ekonomi global.

Dengan mengambil kira anggaran awal pertumbuhan suku keempat 2025 pada 5.7 peratus, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 diunjur mencapai 4.9 peratus, katanya.

Beliau berkata perdagangan juga berkembang kukuh melebihi 6.0 peratus dan mencapai paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM3 trilion.

Amir Hamzah berkata semua pencapaian ekonomi itu adalah hasil pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI termasuk pengurusan ekonomi bertanggungjawab dan berhemat yang telah membina keyakinan pelabur di samping usaha memudah cara perniagaan juga merancakkan pertumbuhan, pelaburan dan perdagangan.

Beliau berkata dunia mengiktiraf kebangkitan dan kesungguhan Malaysia dalam membawa perubahan apabila keyakinan pelabur dan daya saing negara terus diperkukuh.

“Prestasi nilai mata wang ringgit terus kukuh dan mencapai paras terbaik sejak hampir lapan tahun iaitu RM3.92 berbanding dolar Amerika Syarikat setakat 28 Jan, 2026, sekali gus mengekalkan kedudukan ringgit sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap pengurusan ekonomi dan hala tuju dasar kerajaan.

“Manakala bagi pasaran ekuiti, Indeks FBM KLCI mencecah 1,771 mata pada 27 Jan, 2026, paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun,” katanya.

Amir Hamzah berkata walaupun pasaran ekuiti Malaysia mencatatkan aliran keluar dana asing sekitar AS$5.2 bilion pada 2025 namun, kemasukan dana asing ke dalam pasaran bon negara jauh lebih besar, mencecah AS$6 bilion.

“Trend keseluruhan menunjukkan, Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil. Ini dapat dilihat melalui kemasukan berterusan dana asing ke dalam pasaran bon negara, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi Malaysia.

“Januari 2026 menunjukkan sentimen pelabur adalah positif dengan pasaran ekuiti dan pasaran bon masing-masing mencatatkan aliran masuk dana asing melebihi RM1 bilion,” katanya. – BERNAMA