PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan serta-merta Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) seorang pemandu e-hailing yang terbabit dalam insiden gangguan seksual terhadap penumpang di Johor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Lok, berkata susulan tindakan pembatalan itu pemandu terbabit tidak boleh berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-hailing.
“MOT tidak akan bertoleransi dengan sebarang tingkah laku yang mengganggu gugat keselamatan penumpang dan bersedia untuk menyokong mangsa dalam memastikan tindakan polis diambil terhadap pihak pelaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke berkata, MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memanggil semua pengendali e-hailing termasuk Grab untuk membentangkan pelan tindakan penambahbaikan bagi keselamatan penumpang.
Media baru-baru ini melaporkan polis sedang mengenal pasti pemandu e-hailing yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita di Johor Bahru susulan satu video yang tular di media sosial sejak Ahad lalu.
Video tular berkenaan dipercayai dirakam oleh penumpang wanita terbabit sehingga latar belakang pemandu itu tular di laman sosial.-BH Online
