KUALA LUMPUR: Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dinaikkan ke pangkat Jeneral dan dilantik Panglima Angkatan Tentera (PAT), berkuat kuasa mulai esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, berkata pelantikan beliau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pelantikan itu dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, dan seterusnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong semalam.
“Malek memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
“Perkhidmatan beliau bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, dan ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
“Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi. Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.
“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.
“Di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya.-BH Online
