KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kadar bekerja dalam kalangan graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) direkodkan pada paras melebihi 95 peratus, pada 2024.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kadar berkenaan membabitkan bidang kejuruteraan; pembuatan dan pembinaan; teknologi maklumat dan komunikasi; perniagaan, pentadbiran dan perundangan; sastera dan kemanusiaan serta perkhidmatan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peratusan itu bagaimanapun tidak membabitkan graduan daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Selain itu, katanya, berdasarkan Data Raya TVET, kejuruteraan kekal sebagai bidang utama kursus TVET dengan peratusan sekitar 21 hingga 23 peratus, antara 2020 hingga 2024.
“Ini diikuti bidang pembinaan antara 15 hingga 17 peratus serta teknologi maklumat antara tujuh hingga sembilan peratus.
“Bidang automotif, hospitaliti dan pertanian masing-masing mencatat peratusan lebih kecil, manakala kategori lain-lain merangkumi pelbagai bidang pengajian lain bagi memenuhi keperluan industri yang pelbagai.
“Daripada sudut peratusan pecahan pelajar TVET mengikut bidang pengajian, kejuruteraan dan pembinaan mencatat penyertaan tertinggi, diikuti pembinaan, automotif, teknologi maklumat, hospitaliti dan pertanian,” katanya yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai peratusan kursus dan pelajar TVET mengikut bidang pengajian serta kadar kebolehgajian graduan bidang berkenaan dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.-BH Online
