Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 20 Januari – Penguasaan Bahasa Melayu tidak seharusnya menjadi masalah bagi rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang sistem persekolahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai rakyat Malaysia setiap individu sepatutnya fasih dalam bahasa kebangsaan.

“Kita perlu mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun kita juga perlu memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, Cina dan bahasa-bahasa lain kerana kepelbagaian itulah kelebihan kita.

“Penguasaan pelbagai bahasa memastikan Malaysia tidak kehilangan daya saing di peringkat global.

“Jangan sekali-kali kita hilang kelebihan daya saing, iaitu keupayaan untuk menguasai pelbagai bahasa. Saya sendiri boleh bertutur dalam enam bahasa dan saya tidak menganggap diri saya tergolong dalam kalangan orang yang sangat pintar,” katanya.

Kor Ming berkata demikian kepada media pada Selasa (20 Januari) di sini, selepas menghadiri Majlis Amanat 2026 bersama warga KPKT serta pihak berkuasa tempatan.

Tambahnya, beliau akan memastikan kakitangannya bukan sahaja fasih dalam Bahasa Melayu, malah turut menguasai bahasa Inggeris.

Pada 19 Januari, Sultan Ibrahim bertitah bahawa sistem pendidikan kebangsaan perlu diperkukuh sebagai asas pembinaan negara, jati diri nasional dan masa depan negara.

Sementara itu, pada 12 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang gesaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta bahasa-bahasa lain perlu mengambil kira hakikat bahawa Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan.

Menurut beliau, kedudukan bahasa itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan dan disokong.-Berita RTM