Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Titah tegas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar rasuah diperangi secara menyeluruh tanpa melindungi sesiapa akan dijadikan garis panduan utama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkukuh tatakelola serta menutup ruang ketirisan dan salah guna kuasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata titah Seri Paduka Baginda membawa mesej jelas bahawa usaha membanteras rasuah mesti diterjemahkan melalui pelaksanaan tegas dan berintegriti demi memastikan amalan itu tidak terus merosakkan negara.

“Beliau berkata titah itu selari dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial hanya boleh dicapai melalui tadbir urus yang telus.”

“Apabila Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri menyampaikan mesej yang sama, ini menjadi kekuatan besar untuk mengingatkan semua pihak tentang bahaya rasuah,” katanya selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim dalam titah berkenaan menegaskan perang terhadap rasuah mesti dijalankan secara besar-besaran, tanpa sesiapa dilindungi, dan tindakan tidak boleh tertumpu hanya kepada penerima rasuah; pemberi, ejen serta pihak bersubahat juga perlu disiasat dan dikenakan hukuman setimpal.

Saifuddin Nasution berkata titah itu turut menyentuh secara khusus beberapa agensi di bawah KDN, sekali gus memperkukuh komitmen kementerian untuk meneliti dan menambah baik pelaksanaan proses perolehan bagi mengelakkan ketirisan dan salah guna kuasa.

“Semua perolehan KDN, terutamanya projek pembangunan dan perbelanjaan berskala besar, akan dilaksanakan secara telus dan berintegriti. Saya sentiasa mengingatkan pegawai agar menghayati amalan tatakelola yang baik: jangan bocor, jangan tiris, jangan seleweng, jangan boros dan jangan rasuah,” katanya.

Saifuddin Nasution menegaskan penekanan itu akan diteruskan melalui perhimpunan bulanan dan mesyuarat bersama pegawai kanan kementerian bagi memastikan garis panduan kerajaan dilaksanakan secara berkesan.

“Tugas kita bukan sekadar mendengar titah Tuanku tetapi benar-benar menghayatinya dalam pelaksanaan di peringkat kementerian,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kementeriannya akan menumpukan usaha meningkatkan mutu pembinaan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata kerajaan MADANI amat bersyukur apabila sektor perumahan turut diberi perhatian serius oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 hari ini.

“Di bawah RMK13, KPKT akan mengangkat mutu pembinaan rumah mampu milik ke tahap kualiti lebih tinggi supaya rumah ini bukan sahaja mampu milik, tetapi juga berkualiti. Itu hasrat kita,” katanya kepada pemberita selepas istiadat berkenaan.

Nga turut berkongsi bahawa kerajaan kali ini merupakan yang pertama dalam sejarah mencapai dan melepasi sasaran menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja turut menekankan bahawa RMK13 yang bermula tahun ini perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.– BERNAMA