SUNGAI BESI, 19 Januari – Kementerian Pertahanan menjunjung kasih titah dan peringatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar sebarang bentuk salah guna kuasa dan rasuah dihapuskan.
Ini khususnya dalam memastikan integriti Angkatan Tentera Malaysia kekal terpelihara.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, langkah pencegahan dan kawalan akan terus diperkukuh bagi memastikan integriti, disiplin anggota di tahap terbaik.
“Jadi, peringatan yang diutarakan Yang di-Pertuan Agong itu, kita ambil serius. Dan kita akan pastikan supaya ia jadi pegangan dan tidak berlaku sebagaimana yang kita lalui dalam tahun lepas dan tahun ini. Jadi, kita menjunjung kasih.
“Saya telah gariskan beri pandangan pendekatan-pendekatan yang wajar diambil dalam usaha kita untuk memastikan ketirisan penyelewengan salah guna kuasa dan sebagainya dapat dihindari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Residensi Sateria di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan, menitahkan agar amalan rasuah dihapuskan dan tiada sesiapa terlepas daripada tindakan undang-undang.-Berita RTM
