Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI, 18 Januari – Pemain industri pelancongan di sini menyambut positif pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), dengan ramai pengusaha menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama rapat bersama Tourism Malaysia dalam mempromosikan destinasi percutian utama negara.

Pengurus Pusat Informasi Tourism Malaysia Langkawi, Alwi Shakir Abdullah berkata, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri tempatan bagi memperkukuh strategi promosi, memperkaya produk pelancongan serta mempererat kerjasama sektor awam-swasta.

Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, pihaknya yakin Langkawi akan terus menjadi aset strategik dalam memastikan kejayaan TMM 2026.

“Kita sedang memantau keadaan dari hari ke hari, khususnya menjelang tempoh cuti Tahun Baharu Cina. Kita menjangkakan momentum ini akan berterusan dan pada masa sama melihat kerjasama yang baik daripada komuniti di Langkawi yang semakin sedar serta bersama-sama memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui RTM.

Dengan kerjasama erat antara Tourism Malaysia dan pemain industri, Langkawi dijangka mencapai sasaran ketibaan pelancong sekali gus memperkukuh kedudukan pulau pelancongan itu sebagai destinasi percutian utama Asia Tenggara.

Sementara itu pemain industri pelancongan, Shanmugam Thangavelu berpandangan TMM 2026 sebagai peluang keemasan untuk memulihkan sektor yang pernah terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kita dapat melihat peningkatan jumlah pelancong ke Langkawi berbanding tahun 2025. Semua pihak menaruh harapan tinggi terhadap usaha ini, terutamanya dengan kedatangan perayaan berganda pada bulan hadapan,” katanya.

Untuk rekod, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menetapkan sasaran 3.65 juta kemasukan pelancong dan pendapatan pelancongan sebanyak RM8.38 bilion bagi 2026.

Sasaran itu disokong lebih 151 acara utama merangkumi sukan, budaya dan ekopelancongan yang telah dirancang sepanjang tahun di Langkawi.-Berita RTM