KUALA LUMPUR, 17 Januari – Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 kini berada di peringkat akhir untuk dipinda dan bakal diberi nafas baharu bagi memastikan peranan serta hala tuju agensi itu kekal relevan dengan keperluan semasa.
Setiausaha Agung UMNO yang juga Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akta yang digubal lebih enam dekad lalu itu tidak lagi mencerminkan realiti sebenar MARA yang telah berkembang menjadi institusi strategik dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta modal insan negara.
“Akta MARA yang digubal pada 1966 sudah tidak relevan lagi pada masa kini. Contohnya, akta tersebut menyebut matlamat Perumahan MARA adalah untuk membangunkan kawasan luar bandar.
“Fokus ketika itu memang luar bandar, tetapi hari ini MARA bukan lagi tertumpu kepada pembangunan luar bandar sahaja. MARA kini mempunyai ekosistem yang jauh lebih besar dan peranan yang jauh lebih kompleks,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika sesi lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.
Draf awal pindaan Akta MARA telah disiapkan dan akan dibentangkan kepada menteri bertanggungjawab, selain sesi libat urus bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi yang dijadualkan dalam masa terdekat bagi memperhalusi kandungan akta berkenaan.
“Akta MARA sudah berada pada tahap terakhir. Draf awal telah siap dan kita akan bentangkan kepada menteri berkaitan. Insya-Allah, saya juga telah menerima tarikh untuk mengadakan sesi libat urus bagi memperincikan pindaan Akta MARA ini.
“Dalam Akta MARA 1966, matlamat perumahan MARA dinyatakan untuk pembangunan luar bandar. Itu relevan pada ketika MARA mengambil alih peranan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA). Tetapi hari ini, MARA bukan lagi hanya tertumpu kepada pembangunan luar bandar,” katanya.
MARA kini mempunyai ekosistem jauh lebih besar dengan 345 institusi pendidikan, termasuk 270 institusi TVET, sekali gus menjadikannya institusi terbesar dalam pembangunan sektor pendidikan.
“TVET hari ini diangkat sebagai agenda besar negara dan MARA adalah antara institusi utama yang memacu agenda ini. Ini jelas menunjukkan fokus MARA telah berubah dan akta sedia ada perlu disesuaikan dengan realiti semasa.
“Bukan hanya soal mengendalikan luar bandar. Jadi itu sebab kita memikirkan bahawa akta ini perlu diberikan nafas baru,” katanya.
Selain peluasan fungsi, beliau menegaskan bahawa pindaan Akta MARA akan memberi penekanan besar kepada aspek tadbir urus, integriti dan akauntabiliti, selaras dengan keperluan pengurusan moden.-Berita RTM
