PEKAN, 17 Januari – Sebanyak 13 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dijangka akan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara secara berperingkat termasuk di Sabah dan Sarawak, menjelang tahun 2028.
Pengarah Bahagian Operasi Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kolonel Mazlizan Shaikh Osman berkata, setakat ini, dua kem telah beroperasi iaitu di Pekan, Pahang dan Kuala Lumpur, manakala beberapa lagi kem baharu dijangka dibuka tahun ini, antaranya di Gemas, Negeri Sembilan dan Kluang, Johor.
“Insya-Allah, kita jangka program ini akan bermula tahun ini dan bertambah lagi pada tahun depan. Menjelang 2028, kesemua 13 kem dijangka beroperasi sepenuhnya.
“Walaupun operasi penuh nanti, pemilihan masih terhad kerana kita hanya mampu menampung 25,000 pelatih setiap tahun. Bagaimanapun, kita tetap akan membuka peluang kepada mereka yang sukarela ingin menyertai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pendaftaran pelatih PLKN 3.0 di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, di sini.
Dijangkakan seramai 500 pelatih lelaki akan melapor diri di kem berkenaan hari ini termasuk mereka yang dari Sabah dan Sarawak.
Setiap kem yang dibina akan menempatkan antara 300 hingga 700 pelatih, bergantung kepada kapasiti, dengan kem terbesar dirancang di Tawau, Sabah. Pihaknya turut melaksanakan kajian penerimaan dan kepuasan pelatih serta ibu bapa bagi menilai keberkesanan pelaksanaan PLKN 3.0.
Sementara itu kajian berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Penyelidikan Integrasi Sosial (IRIS), dan hasil kajian akan dibentangkan dari semasa ke semasa bagi tujuan penambahbaikan program.
Modul PLKN 3.0 juga telah disusun semula agar lebih holistik, termasuk mengubah suai jadual aktiviti fizikal berat supaya dilaksanakan lebih awal sebelum Ramadan bagi memberi keselesaan kepada pelatih.
Bagi pelatih yang ditemui RTM, Muhammad Amirul Md Zulkifli program itu sebagai peluang berharga untuk mendisiplinkan diri dan membina kemahiran berdikari.
Sementara itu, Veshananthan Chandran berkata program itu memberi peluang membina rangkaian persahabatan dengan rakan-rakan dari negeri lain, selain menanam sifat disiplin yang boleh dibawa dalam kehidupan harian.
“Boleh dapat banyak kawan dari Selangor, Johor. Boleh dapat kawan baik. Disiplin yang saya belajar di sini nanti boleh dibawa bila pergi belajar juga,” katanya.
Pelatih lain, Khor Jia Onn, yang kali pertama meninggalkan keluarga untuk mengikuti PLKN, berkata pengalaman itu memberi cabaran baru namun tetap menyeronokkan.
“Setiap tahun saya tidak pernah berjauhan dengan keluarga, jadi ini merupakan kali pertama tinggal sendiri. Saya harapkan yang terbaik,” katanya.-Berita RTM
