KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan tuduhan dilemparkan kononnya beliau mengetepikan semangat setiakawan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Presiden UMNO itu berkata, pendirian UMNO dalam menyokong bekas perdana menteri itu yang kini berdepan hukuman penjara tidak pernah goyah.
“Saban hari turut diratibkan keputusan (UMNO) menyertai Kerajaan Perpaduan adalah untuk Zahid menyelamatkan dirinya, itu tuduhan…. Zahid (juga) dikatakan mengetepikan setiakawannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, itu juga satu tuduhan.
“Malah, simpati kita, pembelaan kita, solidariti kita kepada beliau (Najib) menjadi bahan momokan dan (turuyt) dipersendakan.
“Apabila menyebut nama Datuk Seri Najib, sokongan kita tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah. Malah, beliau telah menghubungi saya untuk menitipkan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada sidang perwakilan semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini..
Dalam pada itu Zahid berkata UMNO merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar insan bernama Najib Razak diberikan ihsan.
“UMNO, merafak sembah menjunjung kasih Yang di- Pertuan Agong agar ihsan terhadap hamba Tuanku, Datuk Seri Najib Razak bagi beroleh apa sahaja pertimbangan dan keringanan untuk membolehkan beliau dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dan kepada kami semua.
“Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun,” katanya sebelum melaungkan Daulat Tuanku tiga kali sambil disusuli perwakilan.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International berkaitan rasuah RM42 juta, dengan tarikh rasmi tamat pada Ogos 2028, namun beliau berpotensi dibebaskan lebih awal sekitar 2026–2027 kerana remisi satu pertiga.
Selain itu, pada Disember lalu beliau turut dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion dalam kes 1MDB, yang boleh meningkat hingga 40 tahun jika gagal membayar denda.-BH Online
