KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan semua keputusan perolehan membabitkan tentera, polis serta agensi berkaitan, yang terkait dengan isu rasuah, dibekukan sementara untuk memastikan peraturan proses berkenaan dipatuhi sepenuhnya dan bebas daripada unsur rasuah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi membolehkan perkara terbabit diteliti serta disusun semula.
Perdana Menteri menegaskan langkah itu penting kerana masih wujud budaya memandang ringan isu rasuah.
Malah, beliau berkata, ada pihak mempertahankan perbuatan berkenaan, termasuk ketika tindakan diambil terhadap bekas pemimpin yang memiliki kekayaan berbilion ringgit.
“Di Parlimen umpamanya, apabila tindakan diambil terhadap mantan-mantan menteri yang ada kekayaan berbilion (ringgit), kadang-kadang kita disanggah dan tidak diberikan kerjasama.
“Budaya buruk dan merosakkan ini mesti diperbaiki segera,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid di Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menekankan bahawa pembanterasan rasuah memerlukan tekad politik yang kuat serta kerjasama seluruh rakyat.
“Kefahaman mengenai kesan buruk rasuah perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan tidak campur tangan dalam urusan penyiasatan, namun memandang serius perkembangan berkaitan rasuah kerana kegagalan mengambil tindakan tegas secara menyeluruh boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.
“Jika RM10 juta atau RM20 juta diambil secara tidak sah, wang itu sepatutnya kembali kepada kerja-kerja pasukan tentera pada peringkat bawahan atau projek-projek kecil yang memberikan manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau menunggu laporan terperinci berhubung sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan sedia ada.
Katanya, ia termasuk ruang kelulusan perbelanjaan bernilai kecil yang mudah disalahgunakan oleh jabatan tertentu, termasuk Kementerian Pertahanan.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kenyataan tegas dan jelas yang dikeluarkan berhubung isu berkenaan.
Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita baranganmembabitkan nilai berjumlah RM11.4 juta dari dua kediaman bekas Panglima Tentera Darat (PTD), termasuk sebuah ‘rumah rahsia’ di Kuala Lumpur.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dipetik berkata rampasan turut dilakukan di sebuah rumah di Besut, Terengganu.
Sitaan itu termasuk wang tunai RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, seunit kereta Range Rover SVR dianggarkan bernilai RM360,000, dan 26 unit jam (RM2.3 juta).
Turut disita ialah barang kemas bernilai RM294,039.90, dua bentuk cincin berlian (RM20,000), jongkong emas 3.7 kilogram (RM2.5 juta), medalion emas 150 gram (g) (RM102,000) dan dua dinar emas seberat 8.5g (RM5,780).
Dalam kes membabitkan bekas PTD itu, sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan oleh SPRM.
Ops Parasit bermula 23 Disember lalu terhadap bekas PTD membabitkan transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke beberapa akaun dengan jumlah daripada RM40,000 hingga ratusan ribu.
Azam dipetik berkata, siasatan ke atas kes itu bermula secara proaktif hasil maklumat awal yang disalurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), susulan laporan seorang pengadu di Balai Polis Dang Wangi.
Beliau berkata, maklumat itu membolehkan SPRM memulakan siasatan lebih awal, iaitu sehari sebelum pengadu membuat laporan polis.
Pada 7 Januari lalu, bekas PTD bersama bersama dua isterinya ditahan SPRM, berkait projek perolehan tender tentera darat.-BH Online
