Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan menggariskan empat Misi Pelaksanaan Pantas 2026 bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan, memudahkan urusan rakyat dan memperkukuh budaya kerja serta pemerkasaan komunikasi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata empat misi yang digariskan itu bertepatan dengan mandat Pemukiman Jemaah Menteri 2026 pada 10 hingga 11 Januari lalu yang mahukan pelaksanaan pantas disusuli tindakan susulan dan penyelesaian yang tegas serta konsisten.

Beliau berkata, tema ‘Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi’ dipilih sebagai kerangka hala tuju dan tindakan perkhidmatan awam bagi 2026. 

“Mempercepat pelaksanaan bukan bermaksud bertindak terburu-buru, tetapi bertindak dengan kejelasan, keberanian dan disiplin. Ia menuntut keputusan pantas, proses yang dipermudah dan erta keupayaan menterjemahkan dasar kepada tindakan tanpa kelewatan yang tidak perlu.

“Memperhebat reformasi pula bererti memastikan usaha pembaharuan tidak terhenti pada perubahan prosedur semata-mata, tetapi benar-benar mengubah cara berfikir, cara bekerja dan cara kita berkhidmat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat KSN 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata, reformasi yang bermakna ialah reformasi yang menghapuskan birokrasi yang tidak perlu, menutup ruang ketirisan, memperkukuh akauntabiliti serta membina budaya kerja yang berorientasikan hasil dan rakyat.

Melalui misi pertama, Shamsul Azri berkata, semua perancangan strategik kementerian dan jabatan, termasuk bengkel, makmal, seminar serta penyaluran awal peruntukan mesti diselesaikan sebelum 15 Februari 2026, manakala Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) Bilangan 1 wajib diadakan selewat-lewatnya 31 Januari.

Pelaksanaan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) yang sebelum ini hanya terhadap pegawai pengawal akan diperluaskan kepada ketua perkhidmatan dan ketua jabatan mulai suku kedua 2026.

“Seiring dengan amanat Perdana Menteri pada 5 Januari lalu, fokus juga mesti diberikan kepada usaha mempercepat projek kecil yang bersifat low hanging fruits, penambahbaikan kos pelaksanaan dan peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah, termasuk sekolah daif.

“Selain itu, sokongan penuh kepada perolehan produk tempatan yang memberikan kesan langsung kepada rakyat. Misi kedua pula membabitkan usaha mempermudahkan urusan rakyat dan tidak meminggirkan mereka walaupun ia tidak berkaitan dengan kementerian atau jabatan masing-masing.

“Prinsip mudahkan urusan rakyat, jangan susahkan, mesti dihayati sepenuhnya. Sama halnya dengan konsep no wrong door policy yang perlu diterapkan. Bererti, jika sesuatu aduan bukan bawah tanggungjawab kita, jangan terus ‘tutup pintu’ kepada rakyat, bantu mereka dengan menunjukkan saluran yang betul. 

“Mempermudah urusan rakyat ini, saya juga minta agar penggunaan kemudahan serta fasiliti kerajaan, sama ada di bandar atau pun di luar bandar dioptimumkan bagi tujuan program melibatkan rakyat,” katanya.

Misi ketiga, iaitu memperhebatkan pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dengan Reformasi Budaya Kerja (RBK) menjadi fokus utama bagi tahun ini.-BH Online