Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kelompok dikenali sebagai netizen disifatkan sebagai antara cabaran baharu yang kompleks dan rumit untuk ditangani melalui pendekatan dakwah berikutan gaya hidup yang dipengaruhi oleh media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata identiti netizen ini dibentuk secara dominan oleh pengaruh alam maya, sekali gus menimbulkan kebimbangan apabila nilai dan sifat kemanusiaan dilihat semakin terhakis.

Katanya, kelompok netizen ini dilihat sebagai satu cabaran berbeza berbanding sebelum ini yang memerlukan satu kebangkitan bagaimana untuk menyantuni cabaran berkenaan.

“Netizen ini mempunyai sikap baharu yang dipengaruhi oleh teknologi dan pada akhirnya mengubah gaya hidup pemikiran setiap orang.

“Ketika kita berdepan pelbagai cabaran dalam dunia dakwah masa kini, kita seolah kehilangan satu kelompok yang seperti sudah tiada sifat kemanusiaannya.

“Justeru dalam memastikan hala tuju kehidupan kelompok ini seiring sunnah dan al-Quran, pelbagai pendekatan perlu dilaksanakan dengan menggunakan teknologi juga,” katanya selepas Konvensyen Dakwah Negara: Mendepani Isu Sosial Umat, di sini, hari ini.

Pada konvensyen itu, seramai 200 peserta hadir bagi membincangkan solusi dakwah yang lebih praktikal dan berimpak bagi mengaktualisasikan nilai MADANI dalam kehidupan masyarakat.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk terus menyemak dan memperkukuh dasar berkaitan hal ehwal Islam.

“Kita mahu memastikan perundangan bukan saja berfungsi sebagai instrumen menghukum, tetapi lebih kepada pencegahan dan pemulihan.

“Sebab itu, saya memuji tindakan pantas dilakukan pihak berkuasa dalam menangani pelbagai isu yang berlaku baru-baru ini mengikut lunas undang-undang, namun pada masa sama, usaha berdakwah juga harus dilaksanakan.

“Ini untuk memastikan setiap mereka yang terbabit dapat diberi kefahaman dan kesedaran,” katanya.-BH Online